Monday, February 28, 2011

KRAFTANGAN (MANIK)

KRAFTANGAN (MANIK)
ASAL USUL MANIK
Gubahan manik merupakan salah satu daripada seni kraftangan yang terdapat di negara kita.  Gubahan manik ini merupakan satu cabang kraftangan yang sangat popular di Sarawak.  Gubahan kraftangan ini telah menjadi satu seni tradisi dalam kalangan masyarakat etnik di Sarawak malahan di Sabah juga.  Antara jenis manik yang digunakan ialah manik jenis kaca, permata dan batu akik.
Usia manik sebenarnya adalah lebih tua daripada zaman tamadun manusia.  Gubahan-gubahan manik yang paling awal dahulu telah diperbuat daripada kulit kerang, gigi, dan biji buah-buahan yang dilubangkan dan dicucukkan dengan tali.  Menurut kajian, manik yang ada di Sarawak telah dibawa masuk dari Mesir, Greece, India dan China sejak beratus-ratus tahun dahulu. 
Sir Roland Bradell(1947) dalam kertas kerjanya tentang sejarah Malaysia mendapati bahawa terdapat antara manik yang ditemui di Sarawak tersebut dibawa masuk oleh pedagang Sabean pada zaman pra-Kristian.  H.C. Beck (1930) mendapati bahawa rantai leher manik dan karangan manik enam sejajar yang ditemui di Sarawak adalah sama dengan rantai leher yang dan karangan manik yang ditemui di Greece dan Rom.
Gubahan manik tersebut banyak dibunakan oleh kaum Kelabit dan Bidayuh di Sarawak.  Kajian Sejarah juga menunjukkan bahawa manik-manik tersebut dibuat sendiri oleh penduduk pribumi Sarawak daripada bahn-bahan mentah yang diimport dari negara-negara di Timur Tengah pada abad yang ke-12 masehi yang terdiri daripada kaca lebur.
BENTUK DAN GAYA
Manik mempunyai pelbagai bentuk dan warna.  Bahagian hujung manik selalunya berbentuk rata.  Lubang diperbuat mengikut saiz benang yang hendak digunakan.  Benang yang digunakan biasanya diperbuat daripada serat gentian daun nenas atau serat gentian lain yang tahan.  Manik jenis ini selalunya berbentuk runcing di hujung dan kembung di bahagian tengahnya.  Tetapi ada juga yang berbentuk sekata dengan alur-alur lekuk yang sejajar.  Manik kaca jenis tersebut selalu digunakan sebagai rantai leher untuk lelaki dan perempuan.
 Manakala manik-manik yang lebih kecil dan berharga pula dijadikan rantai tangan.  Ada juga manik yang hanya dipakai oleh isteri para pembesar seperti isteri tuai.  Biasanya manik tersebut dijadikan rantai tanganrantai leher dan hiasan jaket atau gaun.  Manik-manik daripada permata merah pula selalu dikarang menjadi  hiasan kepala.
Kaum perempuan yang berkedudukan tinggi seperti isteri tuai mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam menilai manik.  Tetapi nilai satu-satu jenis manik itu berbeza mengikut kaum-kaum tertentu.  Kaum Kelabit dan kaum Bidayuh sangat menghargai manik kaca yang bewarna kebiru-biruan dan manik batu yang biru kehijauan.  Kaum Kelabit lebih menghargai manik kaca yang bewarna biru muda, manik batu atau permata merah dan manik tulang yang bewarna oren hingga coklat tua.  Tetapi manik yang paling berharga ialah manik kaca bersaiz besar yang bewarna biru kehijau-hijauan yang pucat dan biru gelap.  Manik biru tua tersebut mempunyai ukuran kira-kira setengah inci panjang dan sesuku inci lebar.  
Kaum Kayan dan Kaum Kenyah pula lebih menggemari manik yang berhias dan bewarna-warni.  Manik tersebut dikenali dengan nama lukut dan terbahagi kepada tiga peringkat.  Manik lukut sekala ialah manik lukut yang berharga dan mempunyai nilai yang sama dengan wanita suruhan yang sudah dewasa.  Manik ini selalu dikarang untuk dibuat rantai leher dan dijadikan barang hantaran perkahwinan. 
Kaum Bidayuh pula menggemari manik kaca biru muda yang berbentuk bulat leper.  Manik tersebut dikarang berselang-seli dengan kuku beruang, taring babi hutan dan sisik tenggiling.  Biasanya manik yang sudah dikarang itu dibuat rantai leher dan tali pinggang. Karangan ini kerap dipakai oleh dukun sebagai tangkal semasa upacara perubatan.
Kaum Melanau juga menggunakan manik kaca biru muda.  Mereka menggunakannya sebagai hantaran semasa perkahwinan dan juga baranganan semasa upacara pengebumian.  Kaum Kayan dan kaum Kenyah juga mempunyai pilihan manik yang menjadi kegemaran mereka.  Manik-manik tersebut bewarna cerah dan bersaiz kecil.  Manik-manik tersebut dikarang menjadi hiasan pada tudung saji, pelilit kepala, pengendong bayi, bakul dan sebagainya. Tudung saji bersaiz kecil kepunyaan kaum Melanau dikenali sebagai terendak matu.  Tudung saji bersaiz besar kepunyaan kaum Kenyah dan Kayan pula dikenali sebagai sa'ong.
Selain daripada itu manik juga dikarang menjadi hiasan pada bakul, bekas tembakau dan sirih, dompet, pakaian perang dan jaket.  Masyarakat Orang Ulu pula terkenal dengan karangan manik yang dinamakan bao dar'.  Bao dar' adalah hasil kombinasi manik-manik yang bersaiz kecil.  Ia juga digunakan untuk menghiasi ajat, ingan, tabung tembakau, sarung parang, subang dan baju perang. 



PROSES PEMBUATAN
Semenjak zaman dahulu lagi, penciptaan rekaan serta pelaksanaan ragam hias gubahan manik tradisional merupakan suatu perpaduan kerjasama di antara lelaki dengan wanita.  Kerja mereka serta menyurihkan ragam hias itu dilakukan oleh kaum lelaki sahaja.  Sementara kerja melaksanakan ragam hias itu pula adalah khusus tugas kaum wanita.
Kaedah asasi dalam pembuatan segala barang yang dihiasi dengan gubahan manik di kalangan kaum etnik di Sarawak adalah serupa pada umumnya.  Mula-mula sekali papan disediakan untuk menggubah manik, yang diperbuat daripada kayu jelutung.   Papan itu pula perlulah berpadanan dengan bentuk ukuran sesuatu barang yang hendak dicipta. 
Seterusnya ragam hias dituriskan atau disurihkan pada permukaan papan tersebut.  Kemudian kaki-kaki halus dipasang iaitu setinggi kira-kira dua belas inci pada papan itu, bertujuan agar penggubah manik tidak terbongkok-bongkok semasa menggubah nanti.  Tugas pertama seorang penggubah ialah memasangkan benang asas pada hujung papan serta merentanginya pada sepanjang tepi papan itu.
 Pada masa kini ia dilakukan dengan menggunakan jarum biku, berbanding dengan menggunakan pasak-pasak buluh pada zaman dahulu.  Seterusnya penggubah mengerat beberapa lembaran benang kapas atau nilon yang diperlukannya.  Lembaran -lembaran benang itu seterusnya diatur rapat-rapat, menutupi ragam hiasan yang telah terturis di atas papan itu.  
Selepas itu lembaran-lembaran benang kapas atau nilon itu dilipat dua dan digelungkan pada benang asasnya dan dengan demikian hujung lembaran-lembaran benang yang berpasangan itu terletak pada sebelah yang bertentangan dengan benang asas pula.  Kemudian barulah manik-manik halus dicucukan pada sepanjang setiap lembaran benang itu mengikut corak yang dikehendaki.


RAGAM HIAS
Ragam hias yang biasanya digunakan dalam gubahan manik kaum etnik di Sarawak adalah serupa dengan apa yang telah digunakan semenjak lebih lama dahulu oleh para pengukir kayu atau buluh, atau oleh para tukang cat yang menghiasi petak-petak dinding Rumah Panjang dan juga oleh penenun kain serta penganyam bakul.  Suatu corak asasi dalam ragam hias itu ialah seekor naga-anjing yang berbelalai panjang dengan taring-taring dan cula-cula yang melengkung.  Di samping itu ragam hias yang lain adalah bentuk-bentuk yang menyerupai muncung burung kenyalang dan rekaan menyerong seperti corak potong intan.
PENGGUNAAN
Sejak zaman berzaman manik menjadi simbol tradisi bagi menunjukan kemewahan dan kedudukan seseorang.  Tidak hairanlah jika manik menjadi bahan pusaka turun-temurun daripada ibu untuk anak perempuan.
 Manik juga pernah digunakan sebagai mata wang, hantaran perkahwinan, perhiasan diri dan barang-barang yang digunakan untuk tujuan pengebumian.  Di samping itu manik juga boleh digubah menjadi pengendong bayi atau ba, beg tangan, alas tempat duduk,topi dan perhiasan-perhiasan lain.






Monday, February 7, 2011

konstruktivisme

Konstruktivisme
Menurut Borich dan Tombari(1997),dalam bukunya yang bertajuk  Educational Psychology. A Contemporary Approach(m/s 177),pendekatan kontrativisme(construktivism) ialah.......''Constructivism. an approach to learning in which learners are provided the oppurtunity to construct their own sense of what is being learned by building internal connections or relationship among the ideas and facts being taught.''
dalam definisi tersebut,beliau menjelaskan bahawa konstruktivisme adalah pendekatan pembelajaran yang menyediakan peluang kepada pelajar untuk membina kefahaman terhadap perkara yang dipelajari dengan mewujudkan jaringan atau hubungan(dalam otak) antara idea dan fakta yang sedang diajar atau dipelajari.oleh sebab itu konstruktivisme juga dikenali sebagai fahaman ‘’binaan’’.

Menurut A.E Woolfolk dalam bukunya Educational Psychology(1988), ‘Constructivist perspectives- View that emphasizes the active role of learner in building understanding and making sense of information.’’

Duckworth(1987) mendefinisikan konstruktivisme sebagai…. ‘meaning is not given to us in our encounters,but it is given by us,constructed by us,each in our own way,according to how our understanding is currently organized.’

Dari kenyataan-kenyataan di atas,jelaslah dalam pendekatan teori pembelajaran konstruktivisme pelajar perlu memainkan peranan aktif dalam memahami dan memberi makna kepada maklumat atau pengetahuan yang dipelajari.

Pandangan konstuktivisme tentang pembelajaran terbahagi kepada dua:
1)    Tradisi Piagetian (Konstruktivisme Psikologikal)
Ø  Umumnya tradisi ini melihat tujuan pendidikan sebagai mendidik kanak-kanak dalam bentuk menyokong minat dan keperluan kanak-kanak. Oleh itu kanak-kanak adalah merupakan subjek kajian dan penekanannya kepada perkembangan kognitif individu. Pendekatan ini berpusatkan kanak-kanak dan mengandaikan yang pelajar membawa bersama idea, kepercayaan dan pendapat yang perlu diubah oleh guru melalui tugasan-tugasan dan soalan-soalan yang boleh membentuk dilemma kepada pelajar. Pembinaan pengetahuan adalah hasil daripada tindak balas pelajar ke atas dilemma tersebut. Ciri-ciri amalan pengajaran konstruktivis termasuklah pembelajaran penemuan dan aktiviti-aktiviti ‘hands on’.



2)    Konsruktivisme Sosial
Ø  Konstruktivisme sosial atau Vygotsky menekankan pendidikan untuk tranformasi sosial dan menggambarkan teori perkembangan manusia yang berlaku dalam konteks sosiobudaya. Perkembangan individu terbit daripada interaksi sosial dalam mana makna budaya dikongsi oleh kumpulan dan seterusnya dihayati oleh individu. Individu membina pengetahuan melalui interaksi dengan persekitaran, dalam proses itu kedua-dua individu dan persekitaran berubah.(Othman Lebar,2001)

Ciri-ciri pengajaran konstruktivisme
Ø  Menyusun atau menstruktur pengajaran dan pembelajaran di sekitar idea utama atau penting.
Ø  Pembelajaran dahulu atau pengetahuan sedia ada penting untuk pembelajaran baru.oleh itu guru harus mempastikan atau mengkaji setakat mana penguasaan pengetahuan lepas pelajar.
Ø  Guru haruskan menimbulkan keraguan atau persoalan mencabar dalam minda pelakjar meneroka mencari jawapan.
Ø  Mengajar individu cara belajar iaitu menggunakan metakognitif dan metamemori.
Ø  Pembelajaran adalah usahasama kognitif(joint cognitive venture) di antara guru dengan pelajar atau pelajar dengan pelajar.
Ø  Guru perlu menilai atau mengukur kefahaman pelajar tentang maklumat yang disampaikan semasa pengajaran dan pembelajaran.

Peranan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran konstruktivisme
Ø  Pelajar tidak menganggap guru sebagai pembekal maklumat tetapi sebagai suatu daripada sumber pengetahuan untuk membantu mereka mencari maklumat dan menggalakkan mereka berfikir serta berkomunikasi.
Ø  Pelajar bertanggungjawab terhadap segala usaha untuk mencari pelbagai cara untuk memproses maklumat dan menyelesaikan masalah.
Ø  Pelajar berdisiplin dalam membuat keputusan sendiri untuk meliabtkan diri dalam aktiviti pembelajaran.



Peranan guru dalam pengajaran dan pembelajaran konstruktivisme
Ø  Guru tidak menganggap bahawa minda pelajar adalah tin kosong(tabula rasa) yang perlu diisikan dengan fakta dan pengetahuan baru.
Ø  Guru berperanan sebagai seorang fasilitator dan pembimbing.
Ø  Guru berperanan sebagai pengurus bilik darjah untuk menangani hal-hal disiplin pelajar dengan sempurna.

Ciri guru yang mengamalkan pendekatan konstruktivisme ialah:
Ø  Pelajar diberi peluang mengemukakan pandangan tentang sesuatu konsep.
Ø  Pelajar diberi peluang berkongsi persepsi antara satu sama lain.
Ø  Pelajar digalakkan menghormati pandangan alternatif rakan mereka.
Ø  Semua pandangan pelajar dihormati dan tidak dipandang rendah.
Ø  Pembelajaran berpusatkan pelajar.
Ø  Aktiviti berdasarkan ‘hans on’ dan ‘minds on’.
Ø  Guru mementingkan kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir.
Ø  Pelajar digalakkan merenung kembali proses pembelajaran yang dilaluinya.
Ø  Pelajar diminta menghubungkait idea asal dengan idea yang baru dibina.
Ø  Pelajar digalakkan mengemukakan hipotesis.

Rujukan
Ø  Psikologi Pendidikan – Pendekatan Kontemporari, Edisi Revisi.
Ø  Kertas kerja Dr. Salleh Hassan, Bahagian Pendidikan Guru, dalam Konvensyen Guru Cemerlang, pada 18 – 22 November, 1996 di Bayu Beach Resort, Port Dickson).