Monday, April 4, 2011

Menghapuskan beban pesakit sumbing
Mingguan Malaysia
4 Julai 2004
ms 26
Kesihatan

Oleh DR. AYU ABDULLAH
(Pakar Pergigian Masyarakat, Sarjana Perubatan Masyarakat, Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan)
KECACATAN rekahan bibir dan lelangit tanpa sindrom atau bahasa mudahnya, sumbing merupakan sejenis kecacatan sejak lahir.
Ia kerap berlaku di dalam dan luar negara. Kes-kes baru yang dilaporkan di seluruh dunia ialah satu dalam 500 kelahiran bayi hidup.
Dari sudut embriologi, sumbing disebabkan oleh kegagalan tulang muka dan lelangit untuk bercantum secara lengkap.
Proses ini berlaku pada peringkat awal kehamilan iaitu di antara minggu kelima hingga minggu kedua belas.
Di kalangan masyarakat Melayu, sumbing juga tidak terlepas dikaitkan dengan kepercayaan-kepercayaan karut.
Antaranya, ada yang percaya ia disebabkan tindakan ahli keluarga wanita terbabit yang mencederakan haiwan atau mengail ikan semasa hamil.
Tidak dinafikan, agak sukar untuk menjejaki kanak-kanak yang sumbing kerana kebanyakannya dihantar ke rumah nenek mereka.
Ini disebabkan, ibu bapa yang mempunyai anak-anak seperti ini berasa malu. Kanak-kanak ini hanya ditemui oleh jururawat yang membuat lawatan pemeriksaan kesihatan. Tentunya, senario ini amat menyedihkan dan merumitkan proses rawatan kerana kebanyakan pesakit tidak dapat dihubungi.
Selain masalah perhubungan, keadaan nenek dan datuk yang tidak berupaya dari segi kesihatan, pengangkutan dan ekonomi menyebabkan rawatan berkala kepada pesakit sumbing tidak berjalan lancar.
Kira-kira lima dalam 200 kanak-kanak sumbing ini meninggal dunia.
Mereka yang meninggal dunia ini berusia kurang dari setahun. Kecacatan ini menyebabkan mereka sukar menghisap susu. Keadaan ini menyebabkan mereka mengalami masalah tumbesaran dan jangkitan paru-paru.
Dari sudut perubatan, semasa peringkat bayi, pesakit tidak dapat menghisap susu dengan sempurna. Ini menyebabkan air susu keluar melalui hidung dan telinga.
Kesannya, tumbesaran bayi menjadi lambat, bayi mudah dijangkiti kuman terutamanya pada telinga, saluran pernafasan dan paru-paru.
Masalah penampilan dan pertuturan menyebabkan mereka tidak diterima oleh masyarakat terutamanya pada peringkat awal persekolahan.
Apabila pesakit mengasingkan diri, kebanyakan mereka tidak berpelajaran dan tidak bekerja. Keadaan ini akan membebankan ahli keluarga kerana mereka tidak berupaya untuk berdikari.
Jenis-jenis sumbing
- Bibir kiri
- Bibir dan lelangit kanan dan kiri
- Lelangit.
Faktor-faktor penyebab
- Ibu merokok semasa hamil atau perokok aktif
- Ibu hamil yang terdedah kepada asap rokok atau perokok pasif
Kajian di Kelantan berhubung kesan perokok pasif terhadap kandungan bayi mendapati risiko kelahiran bayi sumbing meningkat sebanyak 2.3 peratus di kalangan ibu-ibu hamil yang terdedah kepada asap rokok
- Pengambilan ubat-ubatan semasa hamil - phenytoin semasa hamil boleh menyebabkan kelahiran bayi sumbing akibat kesan ubat tersebut.
- Pengambilan ubat tradisional
Kebanyakan wanita mengatakan kehamilan mereka tidak dirancang. Jadi, mereka yang mengambil jamu akan meneruskan pengambilan ubat tradisional tersebut, tanpa menyedari pertumbuhan bayi dalam rahim.
- Kekurangan asid folik sewaktu hamil
Asid folik sangat penting dalam pembinaan Dioksiribinukleik Asid (DNA) atau bahan asas untuk membina gen manusia.
Di Malaysia, vitamin asid folik diberikan secara percuma kepada ibu-ibu hamil. Kebanyakan wanita hanya menyedari tentang kehamilan mereka setelah tiga bulan.
- Keturunan
Tidak dinafikan, setiap kecacatan berpunca dari faktor genetik. Tetapi menurut Dr. Hart dari Amerika Syarikat, faktor keturunan hanya menyumbang sebanyak 30 peratus manakala, 70 peratus lagi berpunca daripada faktor-faktor persekitaran
- Perkahwinan sesama keluarga
- Penyakit yang berlaku secara sindromik (kumpulan)
Kanak-kanak yang mengalami penyakit secara kumpulan seperti Pateau, Sindrom Down, Sindrom Turner dan Sindrom van der woude berkemungkinan juga akan mengalami kecacatan rekahan pada bibir dan lelangit.
Rawatan sumbing
Meskipun rawatan kecacatan sumbing memakan masa yang lama dan juga memerlukan perbelanjaan yang tinggi, namun hasilnya memuaskan. Ini kerana 98 peratus bayi yang dilahirkan sumbing adalah normal dan tidak mempunyai kecacatan di bahagian tubuh yang lain.
Bayi tersebut akan membesar dengan normal, bersekolah, bekerja, berkahwin dan tidak menjadi beban kepada keluarga dan masyarakat.
Antara tujuan rawatan adalah untuk memperelokkan wajah, melancarkan pertuturan dan meningkatkan keyakinan diri.
Panduan ibu bapa
Ibu bapa bayi akan diberikan kaunseling mengenai keadaan dan cara-cara penjagaan bayi
Surat rujukan akan diberikan kepada ibu bapa untuk bertemu dengan pakar-pakar dalam bidang kecacatan sumbing di hospital tertentu.
Di Kelantan misalnya, bayi-bayi berkenaan akan dirujuk ke Klinik Pergigian Kota Bharu.
- Tiga bulan
Pembentukan pada bibir melalui pembedahan.
- Enam kelapan bulan
Pembedahan untuk menutup lelangit yang sumbing.
- 12-18 bulan
Kanak-kanak akan diajar bertutur dengan betul oleh pakar pertuturan. Bagaimanapun, pertuturan yang baik dipengaruhi oleh tabiat, struktur fisiologi dan status sosial kanak-kanak.
- Lapan tahun
Pembedahan menggantikan tulang alveolar supaya gigi dapat tumbuh dengan teratur.
Rawatan pergigian yang komprehensif untuk memastikan keadaan mulut kanak-kanak bebas daripada karies gigi dan penyakit gusi.
- 15 tahun
Pembaikan akan dilakukan untuk mengurangkan kesan parut pada wajah akibat daripada pembedahan yang terdahulu.
- 16-18 tahun
Pembedahan membaiki rahang atas dan bawah supaya kedua-duanya dalam keadaan normal. Pakar psikologi akan menilai status psikologi pesakit.
Kejayaan rawatan yang diberikan bergantung kepada komitmen ibu bapa, pakar-pakar seperti pakar bedah muka dan mulut, rekonstruktif, telinga, hidung dan tekak, ortodontik, periodontik, psikologi, pertuturan dan doktor gigi.
Kesimpulannya, kehamilan yang terancang penting bagi mengelakkan faktor-faktor penyebab sumbing. Tetapi, jika usaha mencegah sudah dilakukan dan Tuhan mentakdirkan kelahiran bayi sumbing, maka terimalah anugerah tersebut dengan hati yang sabar dan reda kerana setiap takdir Tuhan ada hikmah-Nya.
Anda tidak keseorangan, dan hubungilah pihak hospital untuk kaunseling dan rawatan secara berkala.

No comments:

Post a Comment