Monday, April 4, 2011

TAHAP – TAHAP TEORI PERKEMBANGAN PSIKOSEKSUAL

Freud mengenalpasti lima tahap perkembangan psikoseksual. Menurut beliau tahap-tahap dalam perkembangan psikoseksual ini ditentukan oleh objek atau aktiviti yang diperlukan untuk mencapai kepuasan desakan pada tahap tertentu. Freud berpendapat bahawa naluri seks atau naluri untuk mendapatkan keseronokan adalah merupakan tenaga yang paling penting dalam menentukan tingkahlaku seseorang.
Naluri seksual ini dikenali sebagai eros dan tenaga yang datang daripadanya dipanggil tenaga libido. Di mana libido berada di tempat tertentu di tubuh badan mengikut tahap di mana seseorang itu berada.Kelazatan ini akan diperolehi ketika kanak-kanak apabila melalui tahap perkembangan tertentu dan harus diperolehi pada sesuatu ruang masa yang tertentu.
Jikalau ia tidak mendapat kelazatan tersebut, maka ia akan terlekat pada tahap perkembangan tersebut dan semasa dewasa, dan ia akan berusaha sedaya upaya untuk memperolehi kelazatan tersebut. Lima tahap perkembangan psikoseksual tersebut ialah, oral, anal, falik, latensi dan genital.

TAHAP ORAL ( DARI LAHIR HINGGA 1 TAHUN )
Sejak dilahirkan hinggalah berumur satu tahun, sekitar mulut merupakan pusat utama bagi keseronokan bayi. Kanak – kanak pada peringkat ini mendapat kepuasan daripada aktiviti – aktiviti di sekitar mulut. Antaranya ialah menghisap, menelan, menggigit dan mengunyah makanan.
Kanak – kanak yang tidak mendapat kepuasan pada tahap ini dianggap terlekat ( fixated ) dan ianya sedikit sebanyak akan mempengaruhi personaliti kanak – kanak tersebut. Apabila kanak – kanak yang terlekat pada peringkat ini membesar kelak, mereka hanya akan mencapai kepuasan melalui aktiviti makan, menghisap rokok, dan bercakap atau berleter.
 Selain itu, lekatan akan mengganggu kanak – kanak tersebut pada tahap yang selanjutnya. Mereka akan menjadi agresif terutamanya dari segi pertuturan dan mempunyai sikap oral yang tidak digemari oleh masyarakat seperti mengumpat, suka memaki, menengking dan sebagainya.
Freud membahagikan tindakan menyusu kepada dua bahagian iaitu ‘oral incorporative’ dan ‘oral aggressive’. Oral incorporative merupakan tahap penyusuan daripada lahir hingga tumbuh gigi. Orang dewasa yang terlekat pada tahap ini ketika zaman kanak – kanakya akan suka makan dengan banyak, minum banyak, suka mengunyah dan bercakap banyak.
Oral aggressive pula ialah tahap di mana bayi sudah tumbuh gigi dan mula menggigit. Apabila dia dimarah kerna menggigit putting buah dada ibunya, dia mungkin akan mengalami lekatan pada tahap itu. Pada peringkat dewasa nanti mereka akan memperlihatkan sifat suka berleter, menyindir, mengumpat, aiitu melakukan tindakan – tindakan yang menyakitkan hati orang lain.

TAHAP ANAL ( DARI 1 HINGGA 3 TAHUN )
Selepas tahap anal, bayi akan beralih kepada tahap anal iaitu bermula dari umur satu tahun hinggalah dia berumur tiga tahun. Tumpuan tenaga libido adalah pada otot yang mengawal proses pembuangan. Kanak – kanak menumpukan perhatian pada proses pembuangan air besar dan air kecil, iaitu aktiviti di sekitar dubur ( anal ).
 Pertama kalinya kanak – kanak mendapat kepuasan, impuls idnya dikawal oleh ibu bapa dari segi masa dan tempat pembuangan ( toilet training ). Cara ibu bapa melatih kanak – kanak akan mempengaruhi personalitinya. Jika ibu bapa menggunakan paksaan, sedangkan kanak – kanak tersebut belum bersedia sepenuhnya, kanak – kanak tersebut akan mengalami lekatan pada tahap ini.
Kanak – kanak yang terlekat pada tahap ini akan mempunyai trait personliti seperti kelam – kabut, tidak berdisiplin dan suka membazir. Kanak – kanak yang diberi perhatian yang berlebihan oleh ibu bapa disebabkan takut rumah akan menjadi kotor, akan mempunyai trait personaliti seperti terlalu pembersih, kedekut dan degil.




TAHAP FALIK ( DARI 3 HUNGGA 6 TAHUN )
Tahap ini akan berlangsug antara usia tiga tahun hingga enam tahun. Pada tahap ini kanak – kanak menyedari perbezaan alat jantinanya daripada orang lain. Kanak – kanak ini juga menyedari perbezaan peranan antara lelaki dengan perempuan.
Kanak – kanak pada peringkat ini akan kerap bermain dengan alat jantinanya. Sekiranya dia diejek oleh rakan sebaya kerana sering memegang dan bermain alat jantinanya, kemungkinan besar dia akan mengalami lekatan pada tahap ini. Kesannya, kanak – kanak lelaki yang terlekat pada tahap ini akan takut alat kemaluannnya akan dipotong (catastrated ).
Manakala, kanak – kanak perempuan yang terlekat pada tahap ini akan memperkembangkan perasaan iri hati pada alat jantina kanak – kanak lelaki ( penis envy ). Pada tahap ini kanak – kanak mengalami konflik yang perlu diatasinya supaya dia dapat membesar dengan positif dan memperoleh sahsiah yang normal.
Kanak – kanak lelaki akan mengalami ‘oedipus complex’, iaitu dia akan lebih tertarik dan menyayangi ibunya dan akan takut kepada bapanya. Mereka akan menganggap bapanya sebagai saingan. Untuk mengatasi masalah ini, kanak – kanak perlu menggunakan helah bela diri ‘identifikasi’ iaitu, menyamakan diri dengan bapanya dari segi pemakaian, pertuturan dan gaya hidup.
 Manakala, kanak – kanak perempuan pula akan mengalami konflik yang dikenali sebagai ‘electra complex’. Kanak – kanak perempuan yang mengalami konflik ini akan lebih tertarik dan menyayangi bapanya. Sebaliknya dia akan takut dan menanggap ibu dalah saingannya. Bagi mengatasi konflik ini, kanak – kanak perlu identifikasikan dirinya sebagai ibu, iaitu meniru cara berpakaian, pertuturan dan gaya hidup ibunya.

TAHAP LITENSI ( DARI 6 HINNGA 12 TAHUN )
Tahap ini berlaku terhadap kanak – kanak dari umur enam tahun hingga dua belas tahun. Tahap ini juga dikenali sebagai tahap pendaman di mana tahap oral, anal dan falik diintegrasikan dan tiada penambahan elemen baru ( Sprinthall, Sprinthall dan Oja, 1998 ).
Pada tahap ini, naluri seks kanak – kanak yang berlaku pada tahap falik berada dalam keadaan dominan. Kanak – kanak akan meluangkan masa mereka dalam aktiviti sekolah, hobi baru dan aktiviti sukan serta bergaul rapat dengan rakan yang mempunyai jantina yang sama. Kanak – kanak mengalihkan punca keseronokan kepada bermain dengan rakan sebaya di kawasan luar rumah.
Kanak – kanak perempuan akan bermain dengan rakan sebaya perempuannya dalam permainan seperti masak – masak, anak patung, member pakaian kepada anak patung dan permainan kahwin – kahwin. Pada masa yang sama kanak – kanak lelaki akan memperkuatkan lagi sifat maskulin mereka dan kanak – kanak perempuan pula akan mempertahan dan memperteguhkan sifat feminine mereka.

TAHAP GENITAL ( DARI 12 TAHUN DAN KE ATAS )
Tahap ini juga dikenali sebagai tahap pemantapan iaitu akan berlaku kepada individu  remaja dan dewasa. Freud merujuk zaman ini sebagai zaman ‘Sturm und Drang’ iaitu bersala dari perkataan Jerman yang membawa maksud tekanan keterlaluan dan stress. Isu seksual, iaitu tertarik dengan individu yang berlainan jantina timbul semula.
Sebaik sahaja kanak – kanak menghampiri tahap baligh, kehendak seksual akan digantikan dengan struktur ego yang mengambil alih semula perkembangan diri. Pada masa ini, objek yang jitu dari segi perkembangan diri menjadi lumrah dengan kematangan yang berfungsi. Ego yang terbentuk dijaga dan dikembangkan secara pengalaman yang baru serta bermakna bagi diri individu.
Individu bermula dengan perana sosialisasi, perlaksanaan aktiviti berkelompok, mula dengan penarikan interaksi seksual dan persediaan perkahwinan, berkeluarga dan penetapan vokasional. Zaman kanak – kanak ditinggalkan dan bermula dengan peringkat dewasa. Mereka yang berjaya mengatasi masalah ini akan memperoleh kehidupan yang normal dan sihat seperti boleh menyayangi dan bekerja dengan produktif ( Sprinthall, Sprinthall dan Oja, 1998 ). Pada tahap ini remaja akan mempersiapkan diri mereka untuk menjadi orang dewasa yang dapat berfungsi dan menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.
Jika tiada berlaku lekatan pada tahap ini, remaja akan berkembang denagan sempurna sebagai individu normal dan hubungan antara jantina adalah memuaskan. 

No comments:

Post a Comment